Selasa, 6 Jun 2017

7 Negara Qatar Putus Hubungan Didakwa Melindungi Sejumlah Pengganas Kumpulan Pelampau

putus.jpg

RIYADH 5 Jun – Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Yemen hari ini memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar, sekali gus menggugat kesatuan negara-negara Teluk itu yang telah berlangsung selama 36 tahun.

Perkembangan terkini, Libya dan Maldives turut sama mengikut keputusan negara-negara berkenaan.

Agensi Saudi Press melaporkan, tindakan itu dilakukan bagi melindungi keselamatan negara daripada bahaya keganasan dan pelampau malah Riyadh turut memutuskan hubungan darat dan laut antara kedua-dua negara berkenaan.

Qatar merupakan negara yang menempatkan pangkalan udara Amerika Syarikat (AS) terbesar di rantau itu dan mempunyai kepentingan bagi operasi memerangi kumpulan pengganas Daesh.

Menurut kenyataan Arab Saudi lagi, keputusan tegas itu juga dibuat ekoran pelanggaran melampau pihak berkuasa Qatar sejak beberapa tahun lalu selain tindakannya melindungi sejumlah pengganas dan kumpulan pelampau yang cuba menggugat rantau ini termasuk kumpulan Ikhwanul Muslimin dan Al-Qaeda.

Riyadh juga menuduh Doha menyokong aktiviti pengganas yang disokong Iran di Qatif, Arab Saudi yang dikuasai kumpulan Syiah termasuk di Bahrain.

Untuk itu, Riyadh menarik keluar tentera Qatar daripada kumpulan tentera gabungannya di Yemen.

Pertikaian antara Qatar dengan negara-negara Teluk bermula selepas berlaku penggodaman dalam agensi berita Qatar yang menyiarkan kenyataan palsu pemimpin negara itu, Emir Sheikh Tamim Hamad Al-Thani selepas lawatan Presiden AS, Donald Trump.

Keputusan Arab Saudi itu adalah susulan keputusan Bahrain yang terlebih dahulu memutuskan hubungan dengan Qatar.

Negara itu menuduh media Qatar mencetuskan hasutan, sokongan terhadap aktiviti pengganas bersenjata dan membiayai kumpulan militan Iran untuk melancarkan sabotaj terhadap Bahrain selain menimbulkan huru-hara.

Bahrain juga mengarahkan kesemua diplomat Qatar meninggalkan negara itu dalam tempoh 48 jam manakala pelabuhan dan ruang udara antara kedua-dua negara akan ditutup dalam tempoh 24 jam.

Sebaik sahaja Arab Saudi mengumumkan keputusan itu, UAE dan Mesir turut membuat keputusan yang sama.

UAE menuduh polisi berterusan Qatar menghuruharakan keselamatan dan kedaulatan rantau ini selain memanipulasi serta mengelak komitmennya dan perjanjian yang dipersetujui.

UAE juga turut mengharamkan rakyat Qatar memasuki negaranya manakala rakyat Qatar yang di UAE diberi tempoh selama dua minggu untuk meninggalkan negara itu.

Mesir dalam satu kenyataannya memaklumkan bahawa Qatar bersikap anti-Mesir dan Kaherah gagal menghalang negara itu menyokong keganasan.

Presiden Yemen, Abed Rabbo Mansour Hadi berkata, keputusan itu dibuat ekoran sokongan Qatar terhadap kumpulan pelampau di Yemen yang bertentangan dengan matlamat negara-negara Arab lain yang menyokong kerajaan yang sah.

Arab Saudi, UAE, Bahrain, Oman dan Qatar telah membentuk gabungan negara-negara Teluk yang dikenali sebagai Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang merupakan agensi yang paling berpengaruh di Asia Barat.

Setakat ini hanya Oman yang masih mengekalkan hubungan diplomatik dengan Qatar.

Pada bulan lalu, Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir menyekat beberapa media milik Qatar termasuk agensi berita Al-Jazeera ekoran kenyataan Sheikh Tamim Al Hamad yang dikatakan memuji Iran sebagai kuasa Islam selain mengkritik polisi Trump terhadap Teheran.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Qatar melahirkan rasa kesal terhadap tindakan negara-negara jirannya itu dan menyifatkan tuduhan itu tidak adil kerana berdasarkan dakwaan yang tidak berasas.

Namun negara itu menegaskan, keputusan tersebut tidak akan memberi kesan terhadap kehidupan seharian penduduknya.

Sumber: Utusan

Sumber: sehinggit



✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2rvfzVt

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!



LinkMalaysia News