Selasa, 20 Jun 2017

Abang, adik bergilir selam cari Taufik

DEMI mencari adiknya yang dihanyutkan dalam banjir kilat di Hulu Langat Sabtu lalu, Khaidirratul Alias, 28, mengetuai dua adiknya menyelam dalam sungai mencari Taufik Alias, 24, yang dihanyutkan arus ketika banjir Sabtu lalu, sehingga berjaya menjumpai mayat mangsa semalam.

Khaidirratul Alias sebagai abang sulung berkata, dia bersama dua adik, Mustakim Alias, 26, dan Khusairy Alias, 20, disertai empat lagi rakan membina rakit sendiri bagi mencari Taufik yang hilang dalam sungai berhampiran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, Hulu Langat.

“Kami menyelam dengan membawa rakit yang dibina menggunakan pelampung untuk mencari Taufik di dasar sungai bermula 12 tengah hari (semalam).

“Kami bertukar giliran menyelam (dengan hanya menggunakan gogal) dan berehat di atas rakit dan selepas 30 minit, akhirnya menemui mayat Taufik tersangkut pada pohon kayu dengan kepalanya tenggelam dalam air manakala kakinya terapung," katanya di sini, hari ini.

Khaidirratul berkata, mereka segera membawa mayat Taufik yang ditemui di Sungai Tanjung Niah, Hulu Langat, selepas tiga hari dihanyutkan arus sungai itu menaiki rakit dan dibawa ke tebing sungai sebelum dilaporkan kepada polis.

Mayat Taufik, anak ketiga daripada lima beradik itu kemudian dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Impian Langat malam tadi.

Dalam rakaman video 44 saat yang tular di media sosial, Taufik kelihatan terkapai-kapai dibawa arus ke arah Sungai Serai, sambil penduduk menjerit dan mengarahkannya menuju ke tebing sungai.

Khaidirratul berkata, mereka nekad menyelam mencari Taufik pada hari ketiga berikutan usaha mencari yang dilakukan mereka melalui jalan darat tidak berjaya.

Katanya, ketika kejadian Sabtu lalu, Taufik yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) sedang dalam perjalanan ke rumah di Kampung Dusun Nanding selepas pulang dari kerja di kebun milik keluarganya di Sungai Lui untuk berbuka puasa.

Khaidirratul berkata, Taufik mengalami gangguan mental selepas kemalangan beberapa tahun lalu, keluar rumah pada 10 pagi dan disedari hilang selepas tidak pulang ke rumah dan sehingga rakaman video menunjukkan Taufik dihanyutkan air sungai dengan memakai topi keledar tersebar.

Menurutnya, rakan mereka yang berada berhampiran Taufik ketika kejadian memberitahu arwah tidak dapat menyelamatkan diri kerana arus sungai yang deras selepas terjatuh ke dalam sungai berkenaan ketika menunggang motosikal.



✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2sl7i73

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!




LinkMalaysia News