SHAH ALAM: Seorang penganalisis politik berkata Barisan Nasional (BN) Sarawak perlu memikirkan implikasi di sebalik tindakan mereka untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan bersabit kerusi DUN Pujut.
Pensyarah kanan Unimas, Dr Jeneri Amir berkata, ini kerana dikhuatiri langkah itu akan memberi kesan buruk kepada parti sekiranya tewas dalam rayuan berkenaan.
"Sebelum mereka kemukakan rayuan saya fikir penting bagi pihak Barisan Nasional khususnya untuk pertimbangkan semua kemungkinan dan implikasi daripada tindakan untuk membawa kes itu ke Mahkamah yang lebih tinggi.
"Kerana kalau hujah dan dalil mereka tidak kuat untuk menangkis hujah-hujah yang di bentangkan oleh Dr Ting pada tempoh hari kemungkinan mereka akan tewas lagi.
"Ini akan memberi kesan buruk daripada reputasi dan imej kepada kerajaan Barisan Nasional dan sebagainya," katanya kepada Antarapos.
BN Sarawak semalam memutuskan akan merayu ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching baru-baru ini.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuching tetapi akan merayu di Mahkamah Persekutuan.
Ia berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang mengisytiharkan sebagai batal dan tidak sah pelucutan kelayakan Dr Ting Dr Tiong Choon sebagai ADUN Pujut oleh Dewan Undangan Negeri (DUN).
Jeneri bagaimanapun berkata, BN Sarawak berhak untuk membuat rayuan terhadap keputusan berkenaan, namun mengingatkan mereka perlu 'bersedia berdepan dengan kekalahan'.
"Kerajaan Negeri DUN Sarawak mempunyai hak untuk kemukakan rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi.
"Kerana hakikatnya memang ada ruang untuk mereka mengemukakan rayuan tetapi kalaulah mereka kalah dan tewas lagi di peringkat seterusnya, bermakna mereka tewas empat kali.
"Bersediakan kerajaan Barisan Nasional Sarawak untuk berdepan dengan kekalahan kali ke-empat, pertama dalam Pilihan Raya Negeri hari itu mereka tewas, dengan 1795 undi, yang kedua tewas di Mahkamah Tinggi juga Disember lepas dan tewas lagi Sabtu lalu jadi mereka harus pertimbangkan semua ini," katanya lagi.
Mahkamah Tinggi Kuching pada Sabtu lalu membuat keputusan untuk mengekalkan status Dr Ting Tiong Choon sebagai ADUN Pujut.
Hakim Datuk Douglas Christ Primis Sikayun membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Tiong Choon mencabar keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Mohamad Asfia Awang Nassar berhubung pemecatannya.
- Antarapos
✍ Sumber Pautan : ☕ SARAWAKIANA
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2sMKb6w
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
LinkMalaysia News