Isnin, 19 Jun 2017

DAP "Terkejut" Pendirian Anwar, Izzah Dakwa Calon PM Bukan Isu

PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng melahirkan rasa terkejut dengan keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mahu menawarkan diri beliau sebagai calon Perdana Menteri jika Pakatan Harapan (PH) menawan Putrajaya.
Sementara itu anak Anwar, Nurul Izzah pula berkata, beliau berpandangan PH tidak terdesak untuk menamakan bakal Perdana Menteri pihaknya buat masa sekarang.
Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, partinya berada dalam keadaan “kabur” selepas mengetahui keputusan Anwar itu semalam.
“Ini (pengumuman) adalah kali pertama saya dengar. Saya tidak tahu mengenainya.
“Pendirian kami tetap sama. Kami menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri,” kata beliau dipetik The Malaysian Insight.
Sehubungan itu kata beliau: “Saya rasa adalah wajar untuk PKR, Kak Wan (Presiden PKR dan isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) untuk mengulas keputusan ini.”
Dalam kenyataan media dikeluarkan semalam, Anwar berkata beliau memutuskan untuk tidak mahu menawarkan diri beliau sebagai calon perdana menteri jika PH menguasai Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Sebaliknya kata beliau, keperluan pada masa sekarang adalah memberi tumpuan sepenuhnya menghadapi PRU14.
“Dan terkait dengan gesaan untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada PRU, maka saya memilih untuk tidak menawarkan diri selaku calon perdana menteri.
“Pergeseran sedemikian melelahkan kerana keputusan adalah di tangan rakyat dalam PRU.
“Adalah diharapkan agar segala tenaga dan ikhtiar kita tertumpu nada pengukuhan jentera dan menarik dukungan rakyat,” kata beliau.
Dalam tulisan di Facebook hari ini, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR percaya adalah tidak penting bagi PH untuk menamakan calon perdana menteri atau pemimpin tertinggi sebelum PRU14.
“Apa yang membuat sesiapa berfikir ia (PH) mesti menamakan secara rasmi nama Perdana Menteri atau pemimpin tertinggi untuk memimpin pakatan ini sebagai prasyarat memenangi PRU14?
“Bukankah Pakatan Rakyat memenangi undi majoriti pada PRU13 tanpa secara rasmi menamakan pemimpin tertinggi atau perdana menteri?” kata Nurul Izzah.
Nurul yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, PH mesti terus bekerja pada formula kejayaan pakatan sebelumnya, Pakatan Rakyat.
“Konsensus dan kesaksamaan dan saling menghormati antara parti-parti komponen.
“Berhenti bercakap mengenai keperluan menetapkan perdana menteri atau pemimpin tertinggi. Ketepikan kepentingan diri dan kepentingan sempit, sebaliknya beri tumpuan untuk memenangi PRU14, dan kejayaan akan menanti kita,” kata beliau.
Nurul berkata, bapanya memainkan peranan penting kepada kejayaan pembangkang pada pilihan raya umum 2008 walaupun tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam parti.
“Begitu juga beliau secara rasmi tidak dinamakan sebagai calon Perdana Menteri, tetapi beliau satu-satunya tenaga paling berpengaruh yang menyebabkan Pakatan Rakyat meraih undi majoriti dalam PRU13,” katanya. #sumber


LinkMalaysia News