Selasa, 6 Jun 2017

Hasrat Linda Rakam Lagu, Terbit Drama Tentang Memen Hampir Tercapai

Selepas hampir tiga tahun pemergian anaknya, Rezaimen Kiflin Kefli (Memen), yang meninggal dunia akibat ketumbuhan kronik dalam perut, Linda Rafar mengakui kini lebih tabah menjalani kehidupan.

Meskipun rasa sebak di dada dan serta membuak rindunya setiap kali terkenang akan keletah anak keduanya itu namun kata bekas anggota kumpulan Elite ini, dia sebolehnya tidak menunjukkan rasa sedih mahupun menangis di hadapan anak-anaknya.

Sebaliknya kehilangan tersebut memberi hikmah dan menjadikan Linda seorang yang lebih beryukur dan ibu yang lebih peka dalam menerapkan didikan agama terhadap tiga lagi cahaya matanya, Syed Rezaqiib, 9, Syed Rezariiq, 6, dan Syed Rezaliff.

“Tahun ini sudah masuk tahun ke tiga kami akan beraya tanpa Memen. Sampai sekarang, wajahnya masih jelas terbayang dan suaranya masih terngiang-ngiang. Adik-adik dia selalu bertanyakan dia, tapi saya selalu berpesan pada mereka kalau rindukan Memen, sedekahkan dia Al-Fatihah. Saya juga beritahu mereka, Memen di sekarang di Syurga dan kalau kita semua hendak jumpa dia, kita kena selalu buat kebaikan dan ikhlas.

“Saya akui, selepas pemergian Memen, saya lebih terapkan didikan agama terhadap anak-anak saya misalnya solat lima waktu. Sebelum ini memang kita bersolat cuma mungkin tidak betul-betul tahu dan faham. Tetapi apabila Allah beri kita ujian, menjadikan kita lebih bersyukur dan lebih memahami.

“Misalnya duhulu, ketika di zaman Elite, saya kaya, glamor tapi apabila anak sudah tiada, menjadikan saya lebih menghargai sesuatu perkara dalam hidup,” tuturnya.

Lagu, Drama Tentang Arwah
Sementara itu, Linda berkata, dia berasa lega akhirnya menemui rakan yang duet untuk menyanyikan sebuah lagu istimewa berkisar tentang Memen. Lagu tersebut bakal dirakamkan tidak lama lagi.

Linda bagaimanapun buat masa ini masih merahsiakan teman duetnya itu. Katanya selepas merakamkan lagu tersebut, dia berniat untuk menjualnya dalam bentuk cakera padat (CD)

“Saya sudah jumpa pasangan duet saya. Dia juga yang buat melodi untuk lagu tersebut. Ia sebuah lagu yang menusuk kalbu. Buat masa ini saya tidak mahu dedahkan lagi siapa. Tapi saya merancang mahu menjual dalam bentu CD. Sekurang-kurangnya nanti orang boleh dengar lagu tu bila-bila masa seperti di dalam kereta.

Tambah menggembirakan, dedah Linda, dia baru mendapat tawaran daripada pihak MIG (Metrowealth) untuk menerbitkan drama dan filem berkisar tentang Memen.

“David Teo, menyatakan hasrat mahu terbitkan drama dan filem berkisar tentang anak saya. Sebenarnya memang sudah lama saya  terfikir hendak hasilkan drama dan filem tentang Memen. Ia diadaptasi dari karya novel berjudul Menunggumu Di Pintu Syurga.

“Saya juga akan berlakon dalam filem itu dan untuk watak anak saya, saya akan buat ujibakat. Saya mahu mencari seorang budak yang perwatakan dan personalitinya mirip seperti Memen,” ujarnya.

Mengakui agak berat untuk dia berlakon dalam filem tersebut namun dia terpaksa mengumpul segala kekuatan demi berkongsi rasa dengan masyarakat.

“Kalau ikutkan hati, pintu HUKM (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia) itu pun saya tidak boleh tengok. Apatahlagi hendak menjalani penggambarannya nanti. Tetapi saya hendak juga hasilkan filem ini kerana niat dan tujuan saya mahu berkongsi dengan umum.

“Saya tahu, di luar sana ramai yang pernah melalui saat kehilangan orang tersayang namun mereka tidak dapat meluahkan kesedihan itu. Jadi inilah peluang saya berkongsi perasaan sekaligus bagi semangat dan kekuatan kepada mereka yang pernah melalui perasaan yang sama seperti saya.

“Kalau tidak sekarang, bila lagi? Usia saya pun semakin meningkat dan masa sekarang epat sangat berlalu. Menerusi lagu dan filem ini, boleh juga dikata sebagai kemunculan semula saya dalam industri selepas agak lama tidak aktif terutama dalam bidang lakonan,” katanya.

The post Hasrat Linda Rakam Lagu, Terbit Drama Tentang Memen Hampir Tercapai appeared first on Berita Viral.



✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2qWhNyq

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!



LinkMalaysia News