Selasa, 20 Jun 2017

Jadikan Perjalanan Balik Kampung Sebagai Ibadah

KOTA BHARU – Umat Islam dinasihat mematuhi peraturan jalan raya bagi menjadikan perjalanan mereka sebagai ibadah yang besar ganjarannya selain mengelakkan berlaku kemalangan.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata Islam menuntut umatnya mematuhi peraturan dan undang-undang yang diwujudkan oleh pemerintah termasuk yang berkaitan dengan jalan raya.

“Ini jarang diberi faham bahawa mematuhi peraturan-peraturan jalan raya itu adalah satu daripada rangkaian sifat Ubudiyah (perhambaan diri kepada Allah SWT) ​​​​​​​sebab firman Allah SWT yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah ​​​​​​​kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan taatlah kamu kepada “Uli al-Amri” (pemerintah) dari kalangan kamu,…(surah An Nisaa ayat 59),” katanya.

Mohamad Shukri berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas ​​​​​​​jutaan umat Islam yang akan pulang ke kampung halaman masing-masing bagi ​​​​​​​menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi dan kemalangan yang dilaporkan ​​​​​​​berlaku berleluasa di seluruh negara.

JAGA LIDAH DAN TANGAN JANGAN SAMPAI MUDARAT DIRI DAN ORANG LAIN

Beliau berkata pemerintah membuat peraturan berdasarkan kepada kemaslahatan (kepentingan) rakyat dan melanggar peraturan itu sebenarnya melanggar syarak dan melanggar undang-undang akhirat.

“Kalau masing-masing menyedari bahawa mereka diawasi oleh Allah SWT, mereka ​​​​​​​diawasi oleh peraturan-peraturan Allah, salah satu kehendak syarak ialah kita ​​​​​​​mematuhi dan taat kepada peraturan yang dibuat oleh pemerintah.

“Jadi memandulah dengan berhemah, memandulah dengan cermat kerana perbuatan itu adalah dalam bingkai Ubudiyah,” katanya.

Mohamad Shukri berkata dalam Islam sudah lengkap iaitu ada peraturan dan ada kaedah-kaedahnya untuk umat mematuhinya.

Antara kaedah yang diperkenalkan oleh Islam ialah hadis Rasulullah SAW yang menyebut “Orang Islam yang baik ialah mana-mana muslim yang terselamat daripada lidah dia dan tangan dia”.

Manusia yang baik pada pandangan Islam ialah manusia yang dapat menjaga lidah, dapat menjaga tangan dia supaya jangan sampai tangan dia membinasa atau ​​​​​​​merosakkan orang lain.

“Yang kedua, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Jangan kita melakukan kemudaratan kepada diri sendiri dan orang lain”. Perkara seumpama ini kita perlu ambil ingatan bahawa memudaratkan diri adalah dilarang dan memudaratkan orang lain juga dilarang.

“Kalau kita dapat mematuhinya iaitu menjaga lidah atau menjaga tangan atau ​​​​​​​kita tidak memudaratkan diri sendiri atau tidak memudaratkan orang lain, kalau ​​​​​​​kita berjaya melakukannya, kita telah melakukan ibadah kerana menjunjung titah ​​​​​​​perintah Tuhan,” kata Mohamad Shukri.

PEMANDUAN DALAM BINGKAI UBUDIYAH

​​​​​​Beliau berkata apabila menyebut soal pemanduan supaya sentiasa berada dalam ​​​​​​​bingkai ibadah dan bingkai Ubudiyah, Islam mengajar umatnya supaya berdoa kepada Allah SWT supaya perjalanan itu selamat.

“Begitu juga doa musafir sama ada kita menaiki kenderaan darat, laut dan udara, maka kita diajar oleh agama supaya memulakan perjalanan itu dengan berdoa, sebelum keluar rumah kita disunatkan untuk sembahyang hajat atau ​​​​​​​sembahyang sunat musafir dua rakaat dengan bacaan-bacaannya yang tertentu,” katanya.

Selain itu, dalam Al Quran telah mengingatkan umat Islam bahawa perjalanan ini adalah perjalanan Ubudiyah yang bermaksud perjalanan yang mesti terasa kita diperhatikan oleh Allah SWT.

Mohamad Shukri berkata pengguna jalan raya tidak boleh menganggap jalan raya ​​​​​​​sebagai hanya gelanggang mereka tetapi harus ingat ia juga dikongsi dengan orang lain.

“Saya melihat pemandu kita perlu menyedari bukan sahaja tahu memandu tetapi tahu menjaga keselamatan diri dan orang lain. Jadi setakat tahu memandu belum tentu tahu untuk menyelamat diri dan orang lain, jadi perlu ada sikap untuk menyelamatkan diri dan orang lain,” katanya yang mahu pengguna mangambil berat terhadap sikap berkenaan.

Ini berdasarkan kepada laporan media massa yang beliau lihat kemalangan banyak berpunca daripada kecuaian manusia selain faktor lain.

IKHTIAR SEBELUM MULA PERJALANAN

Sebelum memulakan perjalanan, Mohamad Shukri menasihati orang ramai supaya membuat pemeriksaan dan penyelenggaraan terhadap kenderaan masing-masing supaya sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Satu daripada kandungan Qada dan Qadar ialah ikhtiar, sebab kita diberi keupayaan untuk memilih yang terbaik, jadi kita kena periksa dan selenggara kenderaan supaya dalam keadaan terbaik untuk menyelamatkan diri sendiri dan orang lain,” katanya.

Beliau juga menasihati mereka agar menjaga kesihatan termasuk rehat yang cukup sebelum memulakan perjalanan.

“Sekarang ini banyak lebuh raya ada hentian rehat, jadi ambillah kerehatan, jangan dalam keadaan mengantuk pun kita memandu,” katanya sambil memberi contoh ​​​​​​​sistem sembahyang itu sendiri sebenarnya untuk kita berehat.

“Pandulah kenderaan dengan cermat dan berhemah, semoga sampai ke destinasi dengan selamat”. – BERNAMA

Loading...



✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2sKLwtO

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!




LinkMalaysia News