Rabu, 21 Jun 2017

Keputusan Muktamad Kes ADUN Pujut Di Mahkamah Persekutuan


GEMBIRA sekali pemimpin DAP bila Hakim Mahkamah Tinggi Kuching, Datuk Douglas Christo Primus Sikayun, memutuskan pada 17 Jun lalu bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut dari DAP, Dr Ting Tiong Choon, kekal sebagai ADUN, sekali gus mendorong Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan pilihan raya kecil yang dirancang untuk diadakan pada 4 Julai depan.

Hujah utama yang diberikan oleh Douglas di dalam membuat keputusan ini adalah Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan mengenai penamatan kelayakan ADUN dan badan yang mempunyai kuasa untuk berbuat demikian adalah mahkamah pilihan raya selaras dengan Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan.

Cabaran di mahkamah ini dibuat ekoran pengumuman Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, bahawa usul bagi melucut kelayakan Tiong Choon, di atas alasan dengan sukarela memperoleh kewarganegaraan negara lain, diluluskan dengan 70 undi menyokong berbanding 10 undi membangkang pada sidangnya pada 12 Mei lalu.

Keputusan di luar jangkaan

Sesungguhnya keputusan Douglas ini mengejutkan kerana ia berada di luar jangkaan banyak pihak, apatah lagi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, sebelum ini mengarahkan DAP Sarawak bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya kecil yang bakal diadakan, sekali gus menunjukkan beliau sendiri tidak yakin mahkamah akan memihak kepada DAP.

Bagaimanapun, apabila mahkamah memihak kepada DAP, kata-kata bongkak terus dikeluarkan oleh Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, yang menggunakannya untuk mengkritik Mohd Asfia dengan berkata keputusan mahkamah menunjukkan kebodohan Mohd Asfia.

Yang turut diselar oleh Chieng Jen ialah Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Openg, yang mana keputusan mahkamah ini didakwa akan menjadi sejarah kekal mencemar legasi Abang Johari dan akan menjadi stigma sepanjang karier politik beliau sebagai Ketua Menteri, ditambah dengan desakan supaya Abang Johari memohon maaf kepadanya.

Setiausaha DAP Sarawak, Alan Ling Sie Kiong, juga menggunakan keputusan mahkamah ini untuk menyelar Barisan Nasional (BN) dengan menyebut BN tidak berhak untuk sewenang-wenangnya menyingkirkan wakil rakyat melalui usul di DUN, sambil mendabik dada bahawa tafsiran DAP mengenai undang-undang adalah tepat manakala tafsiran BN adalah salah.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa pemimpin DAP ini tidak sepatutnya terlalu bergembira dengan keputusan mahkamah ini kerana keputusan Mahkamah Tinggi bukanlah satu keputusan mutlak, malah banyak berlaku keputusan Mahkamah Tinggi ini diterbalikkan oleh Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan bila rayuan dibuat ke atasnya.

Sehubungan itu, pengumuman Abang Johari bahawa kerajaan negeri menimbang untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching ini wajar dialu-alukan kerana, selain menjaga nama baik kerajaan negeri, banyak persoalan undang-undang penting yang perlu dirungkaikan secara tuntas oleh Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan.

Sebagai rekod, bila Mohd Asfia mengumumkan usul bagi melucut kelayakan Tiong Choon diluluskan pada 12 Mei lalu, sekurang-kurangnya tiga pakar Perlembagaan, termasuk dari DAP sendiri, iaitu Dr Abdul Aziz Bari; peguam Syahredzan Johan dan peguam, Nizam Bashir, bersuara secara terbuka dengan menyifatkan perlucutan kelayakan ini adalah sah.

Abdul Aziz, seorang pakar Perlembagaan yang pernah bertugas di UIA dan UNISEL yang kini ahli DAP dipetik di dalam laporan portal berita MalaysiaKini pada 13 Mei lalu sebagai berkata bila DUN membuat keputusan mengenai penamatan kelayakan ADUN, maka keputusan ini adalah muktamad dan tidak boleh disemak di mahkamah.

Syahredzan, di dalam laporan portal berita sama, turut menyatakan bahawa di bawah Perkara 19 (1) Perlembagaan Negeri Sarawak, persoalan mengenai penamatan kelayakan ADUN adalah ditentukan oleh DUN dan keputusan DUN adalah muktamad.

Dipercayai bahawa ADUN adalah golongan yang bertindak dengan suci hati (act in good faith).

Di dalam laporan portal berita Malay Mail On Line pada 13 Mei pula, Nizam berkata cubaan mencabar keputusan DUN di mahkamah adalah satu kerja sia-sia (a futile exercise) kerana Perkara 72 (1) Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan bahawa tiada mahkamah boleh membatalkan keputusan mana-mana prosiding di dalam mana-mana DUN.

Tidak pertikai keputusan

Agak menghairankan bila sehingga kini pakar Perlembagaan ini tidak berani mengulas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuching yang jelas bercanggah dengan pendirian tegas mereka sebelum ini sedangkan menjadi kelaziman bagi mereka untuk mempertikaikan apa sahaja keputusan mahkamah yang tidak selari dengan tafsiran mereka sebelum ini.

Memang benar seperti disebut oleh Douglas Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa tiada pemilihan ke Dewan Rakyat atau ke Dewan Undangan sesuatu negeri boleh dipersoalkan kecuali melalui petisyen pilihan raya yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa di tempat pilihan raya itu diadakan.

Yang turut benar adalah kenyataan Abdul Aziz dan Syahredzan bahawa di bawah Perkara 19 (1) Perlembagaan Negeri Sarawak, persoalan mengenai penamatan kelayakan ADUN adalah ditentukan oleh DUN dan keputusan DUN adalah muktamad, dan kenyataan Nizam bahawa di bawah Perkara 72 (1) Perlembagaan Persekutuan keputusan ini tidak boleh dipersoalkan.

Sebab itulah maka rayuan ke atas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuching ini perlu dibuat kerana implikasi keputusan ini sebenarnya bukanlah setakat membabitkan kewibawaan Mohd Asfia atau Abang Johari sahaja tetapi turut membabitkan isu-isu penting di dalam sistem perundangan negara, termasuk isu pengasingan kuasa dan isu semak dan imbang. - BHOnline


✍ Sumber Pautan : ☕ SARAWAKIANA

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2sysLYp

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!




LinkMalaysia News