Selasa, 6 Jun 2017

Lebih 130 Imam UK Enggan Urus Jenazah 3 Penyerang

LONDON – Lebih 130 imam di Britain enggan menguruskan pengebumian tiga penyerang Daesh di sini, yang menyebabkan tujuh orang terbunuh dan mencederakan 48 orang pada lewat Sabtu lalu.

“Kami tidak akan solat jenazah penyerang itu malah kami menggesa imam dan pihak berkuasa agama yang lain juga supaya jangan melakukannya,” tegas para pemimpin Muslim menerusi satu catatan di media sosial semalam.

Para imam itu menyifatkan tindakan mereka sebagai “belum pernah dibuat sebelum ini”, meskipun beberapa buah masjid di Manchester dan Amerika Syarikat (AS) pernah menolak menguruskan pengebumian jenazah pengganas.

Imam Abdullah Hasan dari kumpulan Imam Menentang Penderaan Domestik, yang memuat naik kenyataan itu berkata, pengebumian “lazimnya dilakukan bagi setiap Muslim tidak kira latar belakang atau perbuatan mereka”.

Namun ia dikecualikan dalam kes serangan berdarah di London yang dikutuk keras pelbagai badan Muslim Britain dan Datuk Bandar London, Sadiq Aman Khan yang juga Muslim; sebagai tidak mencerminkan ajaran Islam sebenar.

Dalam kenyataan dikeluarkan, para imam tersebut menyatakan pengganas itu tidak mewakili Islam malah “kami benar-benar kecewa terhadap beberapa serangan ganas yang dilancarkan ke atas negara kita oleh para pembunuh.

“Mereka mahu mendapatkan pengesahan agama menerusi perbuatan. Kami mahu menjelaskan bahawa tindakan keji mereka langsung tidak disokong dan tidak mendapat simpati kami,” tegas para pemimpin Muslim berkenaan.

“Para pembunuh kejam itu hanya mahu memecahbelahkan masyarakat kita dan menimbulkan rasa takut; kami akan memastikan mereka gagal. Kami merayu semua orang supaya bersatu; kita sebagai sebuah masyarakat.

“Apabila berdepan dengan perbuatan pengecut seperti ini, tidak seperti para pengganas itu, kita mesti mengukuhkan kasih sayang dan sikap belas ihsan. Ribuan Muslim di seluruh dunia juga mengutuk aktiviti pengganas Daesh.”

Insiden itu menyaksikan tiga lelaki merempuh dengan sebuah van ke arah puluhan pejalan kaki di Jambatan London, sebelum melompat keluar dan mula menikam beberapa orang di beberapa kelab dan restoran berdekatan.

Polis Britain sudah mengenal pasti dua daripada tiga suspek sebagai Khuram Shazad Butt dan Rachid Redouane. Penyerang ketiga juga sudah disahkan identitinya tetapi belum didedahkan namanya kepada umum, lapor CNN.

Agensi berita rasmi Daesh iaitu Amaq dalam kenyataan terbaharu turut mengesahkan “sekumpulan militan Daesh” berjaya melancarkan serangan maut tersebut namun tidak pula memberikan sebarang bukti yang lengkap.

Perdana Menteri, Theresa May berkata ada “terlalu banyak” tolak ansur terhadap ektremisme dan berikar bertindak tegas selepas insiden pengganasan ketiga melanda Britain dalam tempoh tiga bulan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...



✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2qRVLsv

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!



LinkMalaysia News