Ini kerana Mat Dan atau nama Islamnya Kareef Danial, 26, buat pertama kalinya tahun ini menyambut Ramadan dan Aidilfitri sebagai seorang suami selepas melangsungkan perkahwinan bersama gadis yang berasal dari Chendering, Terengganu, Nadifa Adnan, 28 Mac lalu.
Malah sepanjang bulan Ramadan ini Mat Dan mengurangkan aktiviti seninya untuk bersama-sama isteri membuka gerai di bazar Car Food Sahur di Pantai Batu Buruk yang menyediakan menu seperti bihun goreng, kuih ropa dan brownies.
Mat Dan yang ditemui Bernama di gerai itu berkata keputusan untuk berniaga secara kecil-kecilan pada bulan Ramadan ini bukan berniat untuk mencari keuntungan semata-mata tetapi tertarik dengan konsep yang diketengahkan penganjur iaitu berniaga sambil membuat amal.
"Ia juga satu strategi kami, suami isteri untuk mencari dan mencuba pasaran 'brownies' air tangan isteri saya dan insya-Allah jika sambutan menggalakkan kami akan mencuba untuk jualan selepas Aidilfitri nanti," katanya.Mengulas perasaannya menyambut Syawal sebagai seorang suami pada tahun ini Mat Dan berkata beliau bersyukur kerana tahun ini beliau tidak lagi beraya berseorangan selepas memeluk Islam tujuh tahun lepas.
"Bukanlah bermakna sebelum ini saya menyambut Syawal seorang, tapi tahun ini lebih bermakna sebab ada isteri dan sebagai peneman di pagi Syawal. Insya-Allah pada tahun ini saya akan menyambut Hari Raya bersama keluarga mertua di Kuala Terengganu.
"Persiapan Hari Raya pun sederhana sahaja. Baju raya adalah dalam empat pasang. Mungkin selepas Hari Raya baru saya dan isteri pulang ke Kuala Lumpur bagi meneruskan kerjaya masing-masing," katanya yang tidak sabar merasai rendang daging masakan isterinya.
Apabila ditanya apa istimewa rendang buatan isteri berbanding yang lain, Mat Dan dalam nada berseloroh berkata: Rendang masakan isteri saya mestilah istimewa sebab dia masak penuh dengan kasih sayang," katanya sambal tersenyum.
Mengulas perjalanan aktiviti seninya, Mat Dan yang sebelum ini merupakan hos rancangan kembara 'Mat Dan Kaki Jalan dan Haramain Backpackers' berkata beliau akan kembali aktif dalam kerjaya seni selepas sambutan Aidilfitri.
"Untuk rancangan jangka masa panjang, saya dan seorang rakan Ahmad Safuan Rashid akan bekerjasama untuk melancarkan satu aplikasi dalam talian yang dinamakan "Koya TV" khusus untuk pengguna yang gemarkan rancangan televisyen berbentuk pengembaraan atau 'travelog'.
"Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar aplikasi tersebut akan dilancarkan selewat-lewatnya hujung tahun ini," katanya yang bercita-cita untuk membina empayar perniagaan satu hari nanti selain meneruskan kerjayanya sekarang .
-- BERNAMA
✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2tAdohz
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
LinkMalaysia News