Ahad, 18 Jun 2017

Rela Derma Sebahagian Hati, Tanda Kasih & Pengorbanan Terbesar Antashah Buat Anak Tersayang

Rela Derma Sebahagian Hati, Tanda Kasih & Pengorbanan Terbesar Antashah Buat Anak Tersayang

Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah tiada tandingnya, berkorban jiwa dan raga, demi kasih pada anak tercinta. Sering kali kita menyaksikan pengorbanan seorang ibu kepada anak tersayang, namun begitu pengorbanan seorang insan bergelar ayah juga tidak kurang hebatnya. Figura lelaki bergelar ayah sering kali diangkat menjadi ‘hero’ buat anak-anak tercinta.

Antashah Mohd Nor,36 seorang pensyarah Komunikasi Media di Universiti Teknologi Mara (UiTM) wajar diangkat sebagai hero kepada anak-anaknya dalam erti kata sebenar. Pengorbanannya dari segi masa,tenaga dan wang ringgit malah kesanggupan berkongsi sebahagian hati untuk Arshad Imanshah,4 demi kesembuhan dan kesihatan anak tersayang wajar dipuji dan dijadikan contoh buat-bapa lain.

Kronologi Kisah Arshad

Kini telah empat tahun peristiwa ini berlalu. Mengimbas kembali memori yang terpahat kemas di sanubari pasangan cekal ini, segala peristiwa pahit manis telah dilalui dan ditempuhi dengan tabah semenjak kelahiran Arshad, memperkuatkan lagi hubungan mereka suami isteri dan ikatan kekeluargaan yang terjalin.

“Arshad Imanshah dilahirkan pada 25 Mac 2013, dalam usia kandungan pra matang, 35 minggu secara pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Pada hari ketiga kelahiran, Arshad disahkan mempunyai jaundice dan perlu ditahan di wad untuk pemantauan. Namun, sehingga sebulan ditahan di wad, jumlah bilirubin Arshad masih tidak berkurangan malah sehingga mencecah bacaan 400,”

“Ketika itu bacaan sering turun dan naik. Doktor membuat pemeriksaan pada saluran hati melalui ultrasound, menyatakan saluran hempedu tersumbat dan Arshad menghidap “Biliary Atresia”. Kes Arshad ini merupakan 1 dalam 10 ribu orang,” ujar Norhafidzah Safri,35, memulakan bicara.

Menurut Antashah dan isteri, mereka merasa bagaikan mimpi apabila dikhabarkan anak tersayang menghidap penyakit kronik yang boleh membawa maut.

“Pada mulanya agak sukar untuk kami menerima hakikat ini. Berdepan dengan situasi anak sedang menghidap penyakit kronik, melibatkan nyawa dan kami pula antara ibu bapa yang ‘terpilih’ untuk menerima dugaan ini. Ia bagaikan mimpi. Namun kami redha di atas segala ketentuan, cuba terima hakikat dan ujian yang ditakdirkan, serta percaya Allah sentiasa ada,” ujar Antasha pula.

Hadapi pelbagai komplikasi

Menurut Fiza, salah satu cara yang boleh dilakukan untuk proses penyembuhan Arshad pula adalah melalui “Kasai Procedure”, iaitu pembedahan saluran terus ke usus. Arshad menjalani pembedahan ini pada usianya 64 hari dan berada di dalam tempoh enam bulan pemantauan selepas pembedahan. Antara risiko yang perlu dihadapi dalam prosedur ini ialah peratusan untuk terus hidup 50-50, mati dan pembedahan berjaya.

Ditakdirkan dalam tempoh enam bulan tersebut, nasib kurang menyebelahi Arshad. Pembedahan “Kasai Procedure” tersebut gagal dan hati Arshad rosak serta memerlukan pembedahan hati segera.

“Setelah diberitahu “Kasai Procedure” tersebut gagal, doktor menyatakan bahawa hanya pembedahan hati yang mampu menyelamatkan Arshad. Ia perlu dilakukan segera kerana jangkaan Arshad untuk terus hidup adalah dalam tujuh bulan. Pembedahan pula perlu dilakukan di Singapura dan melibatkan kos yang sangat besar mencapai jumlah sehingga satu juta ringgit akibat beberapa komplikasi yang dihadapi oleh Arshad selepas pembedahan.

“Sewaktu pemeriksaan kesesuaian hati dan jenis darah, doktor mengesahkan hati suami yang paling layak dan sesuai didermakan untuk Arshad selain memiliki jenis darah A+ yang sama, memandangkan keadaan saya yang baru lepas bersalin anak ketiga,” ujar Fiza.

Sepanjang proses membuat keputusan pembedahan hati tersebut, Arshad turut dirawat secara perubatan alternatif Islam, namun turut tidak berjaya. Setelah mempertimbangkan pelbagai perkara, serta melihat potensi masa depan Arshad yang masih jauh serta perlu diberikan peluang dan ruang untuk terus hidup, membulatkan tekad Antashah untuk mendermakan sebahagian hatinya untuk putera kesayangan.

“Saya merupakan seorang perokok tegar, selama berbelas tahun. Sewaktu membuat keputusan untuk mendermakan sebahagian hati buat Arshad. Saya nekad berhenti merokok secara drastik, melakukan senaman, menjalani gaya hidup sihat untuk kekalkan stamina sewaktu menjalani pembedahan,”ujar Antashah lagi.

Detik tarikh 28 Oktober 2014, akan selamanya tersemat diingatan. Tarikh penuh bermakna ini dan National University Hospital, Singapura menjadi saksi, hempedu Antashah dibuang dan kira-kira 18 peratus daripada hatinya didermakan kepada Arshad.

Diuji kali Kedua

Debaran selepas pembedahan tidak berakhir di situ. Selepas pembedahan, selama seminggu Arshad tidak sedarkan diri akibat pengambilan ubat serta dimaklumkan mengalami komplikasi usus pecah, sehingga mengakibatkan Arshad pernah berada dalam keadaan nazak dan kritikal. Akibat pelbagai komplikasi juga, Arshad terpaksa menjalani pembedahan demi pembedahan untuk rawatan susulan.

Penderitaan Arshad dan kecekalan ibu bapa anak kecil ini sekali lagi diuji. Ketika beranggapan mereka sedang berada di garisan penamat dan mengharapkan sinar sang pelangi namun kata-kata doktor bagaikan guruh memetir di langit, semendung awan kelabu, bila mana doktor menyatakan pembedahan ini gagal dan prosedur pembedahan perlu dilakukan sekali lagi kerana komplikasi perut Arshad membesar. Segala-galanya perlu bermula semula! Rawatan pula perlu dilakukan di New Delhi, India bagi mengurangkan kos.

Sedangkan sewaktu itu, segala saluran untuk mendapatkan dana telah digunakan demi pembedahan ini. Sumbangan orang ramai, orang perseorangan, pinjaman peribadi dan segala cara dilakukan demi membiayai kos rawatan pembedahan ini. Akaun Facebook “Liver Transplant Fighter Arshad Imanshah” juga diwujudkan untuk bantuan mendapatkan dana dan sumbangan.

Sesunguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Memberi Pertolongan. Berkat usaha tanpa henti dan doa tanpa jemu, hasil pemeriksaan kesihatan di India, saluran darah utama daripada jantung ke hati Arshad tersumbat dan hanya perlu melakukan pembedahan tersebut tanpa perlu membuat pembedahan pemindahan hati sekali lagi. Alhamdulillah, sehingga kini tahap kesihatan Arshad semakin pulih, kembali sihat dan ceria membesar seperti kanak-kanak lain.

Menurut Fiza,  kesanggupan suaminya untuk mendermakan sebahagian hatinya buat permata hati mereka yang kedua, merupakan antara pengorbanan terbesar sebagai seorang bapa yang sangat beliau hargai. Bukan mudah sebenarnya untuk membuat keputusan tersebut, apatah lagi ketika itu, maklumat, kesedaran dan pembedahan mengenai pendermaan hati sangat kurang di negara ini. Di samping pelbagai risiko lain yang perlu dihadapi. Sambutan Hari Bapa pada setiap tahun diraikan dengan sederhana namun penuh bermakna. Semoga anak-anaknya lebih menghayati dan menghargai erti pengorbanan seorang bapa yang sebenar.
 



✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2rJacPc

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!




LinkMalaysia News