Sabtu, 10 Jun 2017

Ressa mahu bantu bakat tempatan

MEMECAHKAN tembok atau stigma mengatakan karya dan lagu-lagu dari Malaysia sukar menembusi pasaran Indonesia menjadi misi besar kunjungan Ressa Herlambang ke Kuala Lumpur kali ini.

Penyanyi berusia 31 tahun dari Indonesia itu terkenal dengan lagu Menyesal berhasrat membantu pemuzik dan bakat tempatan mengembangkan bakat serta memasarkan produk mereka di Indonesia.

“Menerusi syarikat produksi saya, Ressa Herlambang Productions yang diusahakan bersama rakan kongsi, Ridho Madolofa, kami ingin menjalin kerjasama kreatif dua hala antara Indonesia dan Malaysia khususnya dalam bidang muzik,” katanya ditemui di Saloma Bistro semalam.

Melalui kerjasama itu, RH Productions akan bekerjasama dengan syarikat produksi Malaysia yang berminat untuk memasarkan produk muzik serta artis itu sendiri ke dua negara terbabit.

Ia termasuklah single, album yang dipakejkan dengan rangka promosi, peluang persembahan di radio dan kaca TV.

“Inilah misi terbaharu saya setelah 12 tahun berjuang sebagai insan seni. Dengan pengalaman dan hubungan baik dengan pihak media serta penyiaran di Indonesia, saya akan memanfaatkan untuk mengenengahkan bakat baru dari Malaysia selain Indonesia.

“Saya memilih untuk memulakan perancangan ini pada bulan Ramadan. Walaupun mungkin segelintir pihak mempersoalkan kenapa saya harus membuka peluang kepada bakat Malaysia mencipta nama di Indonesia tetapi bagi saya muzik itu seharusnya tidak perlu ada kekangan.

“Ini salah satu cara memartabatkan muzik Melayu serantau. Perkongsian karya dua negara ini dapat memberikan variasi juga pilihan muzik secara tidak langsung berdaya saing secara kreatif dan positif,” katanya mendapat sokongan artis senegara seperti Rossa dan Syahrini.

Berbalik pada perkhidmatan ditawarkan syarikatnya, tentu saja membabitkan sejumlah pelaburan yang bersesuaian bagi pihak yang berminat untuk bekerjasama dengan mereka dan pihaknya akan menyusun agenda penerbitan, promosi dan persembahandengan sebaik mungkin.

“Langkah ini diharapkan dapat melupuskan stigma bahawa karya dan lagu-lagu dari Malaysia sukar menembusi pasaran Indonesia. Bagi saya lagu atau karya itu tiada masalah sebenarnya kerana sudah lama terbukti lagu-lagu nyanyian Datuk Sheila Majid, Search, Datuk Siti Nurhaliza dan Slam boleh diterima oleh pendengar Indonesia jika ia berkualiti dan boleh difahami oleh pendengar Indonesia.

“Malahan sehingga ini, Datuk Siti Nurhaliza masih lagi memegang status artis paling mencetus fenomena di Indonesia,” katanya.

Ressa berkata, halangan ini sebenarnya berlaku pada zaman syarikat-syarikat rakaman besar mendominasi album dan artis-artis suatu ketika dulu namun pada zaman sosial media ini, pintu penerimaan peminat terhadap sesebuah karya dan lagu itu semakin terbuka luas sekali gus meningkatkan tahap akses masyarakat global terhadap sesuatu karya dan artis yang menjadi viral,” katanya.

Sebagai langkah permulaan, RH Productions akan bekerjasama dengan Sutra Media & Communications untuk merealisasikan hasrat ini. Turut bersama Ressa dalam kunjungan ke Kuala Lumpur adalah bintang baru berbakat berusia 17 tahun – Fedi yang mempertaruhkan single pertamanya yang bergenre up-beat berjudul jatuh cinta.

Dalam perkembangan lain, selepas tujuh tahun tidak muncul dengan lagu baru, Ressa bakal merakamkan single terbaru tidak lama lagi.

The post Ressa mahu bantu bakat tempatan appeared first on Berita Viral.



✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2rfJ6is

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!



LinkMalaysia News