KUALA LUMPUR – Tindakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat memfailkan sekali lagi saman sivil berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tanpa meminta kerjasama kerajaan Malaysia, terpesong dan menimbulkan keraguan.
Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, tindakan penamaan yang tidak sepatutnya, tanpa sebab terhadap perkara dan individu tertentu dalam saman sivil terbaharu itu tidak boleh dipercayai dan boleh dianggap satu konspirasi.
Sehubungan itu kata beliau, adalah amat jelas terdapat cubaan pihak tertentu menggunakan kuasa asing melalui DoJ walaupun dengan melakukan pertuduhan tanpa mengikut lunas keadilan sebenar semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Isu 1MDB melibatkan syarikat negara ini. DoJ sepatutnya membuat penyiasatan dengan kerjasama pihak berkuasa negara ini tanpa bertindak sendiri.
“Ini bermakna DoJ tidak mengikut lunas undang-undang sebenar apabila bebas membuat tuduhan, tidak perlu siasatan terperinci dan bukti-bukti kukuh. Masyarakat tidak boleh percaya dengan apa yang dikeluarkan DoJ itu,” katanya kepada Mingguan Malaysia hari ini.
Dalam pada itu, Tunku Aziz tidak menolak kemungkinan tindakan DoJ kali ini didakwa merupakan agenda terancang bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berterusan menyerang 1MDB semata-mata mahu menggulingkan Najib.
Ini kerana katanya, pihak Peguam Negara telah berkali-kali menegaskan sebelum ini bahawa siasatan yang dibuat menunjukkan Najib tidak terlibat dalam dakwaan aktiviti pengubahan wang haram, malah tidak wujud apa-apa bukti berasas untuk sebarang tindakan mahkamah.
“1MDB bukan lagi satu isu. Kalau kita nak salahkan pengurusannya yang tidak baik dan tidak cekap, kita boleh terima. Tetapi kalau nak tuduh Perdana Menteri curi duit, adalah tidak wajar.
“Jangan kita nak ikut negara luar untuk menjatuhkan kerajaan negara ini dan Perdana Menteri yang dilantik secara demokrasi. Itu semua tindakan yang tidak bermaruah dan tiada semangat patriotik untuk mempertahankan negara. Tidak perlu guna kuasa asing untuk campur tangan isu yang berlaku dalam negara kita kerana kita mempunyai pasukan penyiasatan yang lebih kredibel,” katanya.
– UTUSAN
.
✍ Sumber Pautan : ☕ Malaysia Chronicle
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2so274E
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
LinkMalaysia News