Selasa, 20 Jun 2017

Tiada istilah terlambat – Mizz Nina

MEMENUHI proses penghijrahan, Mizz Nina berusaha memperbaiki diri selain bersikap positif demi membentuk keperibadian lebih baik pada masa depan.

Malah, selebriti berusia 37 tahun ini percaya tiada istilah terlambat dalam mengenali ALLAH SWT seterusnya memulakan kehidupan baru yang lebih bermanfaat.

“Saya sendiri belajar Alif Ba Ta dan al-Quran pada usia 30 tahun.

“Saya juga usaha baiki solat. Tampung yang mana lompong selain sering diingatkan kepentingan memelihara solat.

“Alhamdulillah, semuanya bertambah baik sekarang.

“Apa yang penting, jangan malu dan berputus asa dan jangan rasa terlambat untuk mulakan sesuatu,” katanya pada Media Hiburan.

Bukan itu sahaja, Mizz Nina juga sangat memberi penekanan terhadap kepentingan mempelajari, memahami dan mengamalkan isi kandungan al-Quran.

“Saya belajar mendalami bahasa Arab dengan ambil Diploma Pengajian Islam di Arees University. Bidang ini sentuh ilmu hadis dan fiqh.

“Namun, saya rasa agak sukar untuk hafal, baca dan memahami ayat-ayat al-Quran dengan baik walaupun hanya Juz Amma selepas tamat belajar.

“Jadi, apa yang saya lakukan, saya kembali pada yang asas dan belajar semula dari awal,” katanya.

Justeru, isteri Noh Hujan ini kerap menghadiri kelas agama selain kelas mengaji al-Quran pada setiap minggu.

“Biasanya, saya akan baca al-Quran setiap pagi dan hujung minggu, saya akan ke kelas mengaji pula.

“Saya masih lagi belajar dengan sebutan ayat tepat dan betul.

“Ia proses yang perlahan tapi sangat penting, malah saya rasa lebih tenang dan seronok menjalani hari-hari saya,” katanya.

Bahkan, Mizz Nina juga menyambut baik usaha Malaysia #QuranHour yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya, semalam.

“Masyarakat sepatutnya baca dan fahami al-Quran pada setiap hari.

“Namun ini satu inisiatif yang sangat positif sekali gus mampu menggalakkan masyarakat untuk terus baca al-Quran,” katanya.

Pada masa sama, Mizz Nina berusaha untuk sentiasa istiqamah dalam penghijrahannya apatah lagi ia bukanlah sesuatu perkara mudah.

Baginya, kekuatan dalam diri perlu ada selain menetapkan pendirian agar tidak menoleh ke belakang.

“Saya masih lagi berusaha keras pastikan penghijrahan saya ini buksn separuh jalan.

“Sebab itu orang selalu cakap bila nak berubah ke arah lebih baik ini perlu istiqamah.

“Bukan itu sahaja, kawan-kawan juga main peranan penting. Harus saling mengingati untuk buat perkara wajib dan baik,” katanya.

The Mizz Nina Show

Sementara itu, Mizz Nina bersama rakan kongsinya, Syahir Ismail dan Ili Zuhair Amdan menubuhkan DopsTV (Deen of Peace Studios), sejak setahun lalu.

DopsTV cemerlang menerbitkan beberapa program seperti Always A Traveller, Beyond Translation dan Walk His Way, selain laman web rasmi, dops.tv di YouTube.

Secara tidak langsung, penubuhan rangkaian gaya hidup Islamik itu menjadi platform Mizz Nina berkongsi perjalanannya menimba ilmu dan mempelajari agama Islam dengan lebih mendalam.

“Saya rasa sangat penting untuk hasilkan lebih banyak program berinspirasi.

“Apabila saya tengok sesuatu, ia buatkan saya mahu jadi lebih baik. Jadi, saya mahu kongsi kebaikan ini dengan lebih ramai orang.

“Pada usia ini, saya perlu berkongsi hal-hal yang bagus dan beri manfaat,” katanya.

Sehubungan itu, sebagai hadiah buat peminat, pemilik nama sebenar Shazrina Azman ini menerbitkan program bual bicara Inggeris padat dengan informasi berkaitan agama Islam iaitu The Mizz Nina Show.

“Konsep rancangan ini merangkumi semua elemen seperti gaya hidup, isu semasa, ilmu, informasi dan hiburan yang seiring dengan ajaran Islam,” katanya.

The Mizz Nina Show disiarkan di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD setiap Isnin dan Selasa, jam 11 malam sejak 12 Jun lalu.

The post Tiada istilah terlambat – Mizz Nina appeared first on Berita Viral.



✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2tnTZRz

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!




LinkMalaysia News