Khamis, 15 Jun 2017

Tun Mahathir: Kerajaan ‘Menjual’ Proton Kerana Dendam Kesumat !

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata keputusan menjual Proton didorong oleh “dendam kesumat”, sehinggakan kerajaan mengabaikan soal maruah negara.
“Penjualan Proton dipaksa kerana dendam kesumat. Maruah tidak penting. Membalas dendam lebih penting,” katanya dalam entri terbaru di blognya.
Pengasas industri otomobil kebangsaan itu berkata kerajaan sebenarnya mampu dan tidak perlu menjual kepentingan Proton kepada syarikat China, Kumpulan Geely Holding, jika tidak menggunakan cukai yang dikenakan ke atas rakyat untuk membeli sokongan.
Menurutnya, wang yang didakwa diperutukkan kepada Proton sebanyak RM1.7 bilion sebenarnya tidak sampai kepada syarikat itu.
“Ya, maruah mempunyai kos. Duit sebanyak RM1.7 billion yang kononnya diberi kepada Proton sebenarnya tidak sampai setakat yang diketahui,” katanya.
Pada 24 Mei, DRB-Hicom mengumumkan menjual 49.9% sahamnya dalam Proton kepada Geely, gergasi otomobil China yang sebelum ini turut mengambil alih Volvo dari Sweden.
Proton yang ditubuhkan pada 1983 sebagai syarikat otomobil pertama negara, bergelut sejak beberapa tahun kebelakangan ini walaupun mendapat sokongan dan bantuan kerajaan.
Pada 2001, ia menguasai bahagian pasaran sebanyak 53%, tetapi merosot kepada 14% tahun lalu, di sebalik populariti kereta import dan aduan mengenai mutu kereta.
Dr Mahathir berkata penjualan Proton merupakan pengakuan “kita gagal dan matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara maju terencat”.
Beliau mempersoalkan dana kerajaan yang diperoleh daripada cukai yang dikenakan ke atas rakyat.
Menurutnya, walaupun cukai terhadap rakyat lebih tinggi berbanding ketika zaman kegemilangan Proton, hutang yang ditanggung kerajaan masih tinggi.
“Jika diteliti keuntungan perniagaan Malaysia hari ini, cukai yang dikutip tetap lebih tinggi dari zaman Proton laris dijual. Tetapi hutang kerajaan membukit.
“Ke mana pergi dana kerajaan ini. Apakah ia masuk poket orang itu dan orang ini?”. #sumber


LinkMalaysia News