Isnin, 5 Jun 2017

APMM Perlukan Dua Kapal Pengangkut



KUCHING - Sekurang-kurangnya dua kapal pengangkut diperlukan bagi memantapkan kawalan keselamatan di kawasan perairan Sarawak dalam usaha mengekang pencerobohan bot-bot nelayan asing ke kawasan perairan negara dengan lebih berkesan.

Pengarah Maritim Wilayah Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit berkata, dengan adanya kapal pengangkut ini, ia akan membolehkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) meningkatkan langkah-langkah penguatkuasaan dan meronda dengan lebih jauh, untuk tempoh lebih lama di lautan.

Beliau berkata, kapal pengangkut ini akan membawa bersamanya dua kapal biasa dan dua bot laju di samping bekalan minyak, makanan, minuman dan keperluan petugas lebih ramai, untuk berada di tengah lautan bagi tempoh berminggu-minggu lamanya.

"Dalam keadaan semasa, selain rondaan rutin, kapal kita akan bergerak ke lokasi hanya selepas menerima aduan, dan biasanya apabila tiba di lokasi kebanyakan kapal yang menceroboh sudah melarikan diri," katanya dalam sidang media di jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) di Muara Tebas, kira-kira 10km dari sini hari ini.

Menurutnya, langkah-langkah penguatkuasaan di kawasan ini perlu ditingkatkan ekoran peningkatan aktiviti pencerobohan yang dikesan sejak kebelakangan ini, terutama kalangan nelayan dari negara Vietnam.

Ismaili berkata, dua kapal pengangkut diperlukan untuk berkawal di kawasan perairan Sarawak yang cukup luas yang menjangkau sehingga 239,000 km persegi, dan beliau menganggarkan peruntukan sekitar RM18.4 juta diperlukan bagi tujuan perolehan aset dan pengendalian operasinya bagi tempoh setahun.

Beliau berkata, saranan mengenai keperluan bagi mendapatkan aset ini sudah dimajukan kepada Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri serta kerajaan negeri Sarawak, dan kerajaan negeri pada dasarnya bersetuju untuk menyokong APMM dalam perkara ini.

Menurutnya Rabu lepas APMM menahan dua bot nelayan asing dari Vietnam di kawasan sekitar 120 batu nautika utara Tanjung Po selepas mendapat maklumat awam mengenai sekurang-kurangnya setengah dozen kapal asing menceroboh untuk menangkap ikan di kawasan perairan negara.

Ismaili berkata 15 awak-awak dan tekong berumur antara 19 dan 47 tahun ditahan selepas dua bot berkenaan diperiksa, dan kes sedang disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 atas kesalahan menangkap ikan di kawasan perairan negara tanpa lesen dan permit yang sah.

"Mereka ini tidak ganas, biasanya menyerah apabila dikesan, dan selepas diperiksa mereka biasanya akan dibawa ke jeti Komtas. Kemudian selepas jalani tempoh hukuman penjara mungkin enam bulan...ada yang kembali menceroboh untuk menangkap ikan di sini lagi," katanya.

Beliau berkata tahun ini sehingga hujung bulan lepas, APMM menahan 18 bot asing dari Vietnam, atas kesalahan menceroboh, berbanding hanya 14 bot dari negara yang sama untuk tempoh sepanjang tahun lepas. - Bernama


✍ Sumber Pautan : ☕ SARAWAKIANA

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2rIS0sN

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!



LinkMalaysia News