Selasa, 6 Jun 2017

Kerajaan Sasar Lahirkan 125,000 Huffaz

MELAKA – Kerajaan menyasarkan untuk melahirkan 125,000 Huffaz seluruh negara menjelang tahun 2050 melalui dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata sasaran itu adalah penting buat Malaysia bagi melahirkan sebuah generasi yang mampu membangunkan sebuah negara yang sejahtera, aman, harmoni dan mendapat keberkatan serta pengampunan daripada Allah.

Sehubungan itu, katanya Huffaz yang telah dilahirkan perlu dibentuk menjadi pemimpin dan tenaga kerja profesional negara seperti doktor dan jurutera, bukan hanya menjadi imam atau guru agama semata-mata.

“Kalau 125,000 Huffaz sebagai tenaga kerja profesional insya-Allah Huffaz menjadi Menteri Kabinet suatu hari nanti, dengan PM (Perdana Menteri) pun orang hafal Al-Quran supaya mereka memimpin kita dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Penerapan Nilai-nilai Murni di Bulan Ramadan di Ayer Keroh di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Ahmad Zahid berkata bagi merealisasikan melahirkan lebih ramai Huffaz yang mampu menjadi tenaga kerja profesional negara, kerajaan akan berusaha memastikan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) dapat dilaksanakan bagi menyelaras sistem pendidikan itu di negara ini.

Bagaimanapun beliau menegaskan pelaksanaan DPTN di seluruh negara perlu mendapat perkenan Sultan dan Yang Dipertua Negeri seluruh negara kerana agama Islam adalah di bawah bidang kuasa masing-masing.

Justeru, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menyarankan agar semua pengusaha pusat tahfiz berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi mewujudkan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif.

“Saya harap mana-mana maahad tahfiz yang belum berdaftar hendaklah didaftarkan… bukan kerana untuk mengenakan hukuman tetapi kita mahu memberikan bantuan.

“(Ini membuktikan) kepedulian kerajaan Persekutuan terhadap institusi pendidikan agama dan kerajaan persekutuan komited untuk membantu supaya Islam dapat dipertingkatkan kedudukannya,” katanya.

Ahmad Zahid berkata penyeragaman berkaitan dengan aspek kebajikan murid termasuk tahap keselamatan, kesihatan, pemakanan dan bentuk hukuman di pusat tahfiz adalah perlu agar pemantauan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Insya-Allah saya akan pastikan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara dilaksanakan supaya ada penyelarasan (dalam sistem pendidikan tahfiz) saya tak mahu ada pusat tahfiz terbakar tiada bantuan, saya tak mahu pusat tahfiz ada kes buli,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata kerajaan Persekutuan menyokong penuh langkah kerajaan negeri Melaka untuk melaksanakan DPTN melalui usul yang telah diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka hari ini.

“Kita beri sokongan kepada usul (melaksana DPTN) di negeri Melaka, ia amat didukung kerajaan pusat. Kita sama-sama realisasikan dan saya yakin negeri lain pun akan ikut jejak langkah yang sama,” katanya.

Idris pada persidangan DUN Melaka semalam membentangkan usul melaksanakan DPTN di negeri ini dan pada hari ini usul tersebut diluluskan dengan sokongan majoriti 23 ADUN manakala empat berkecuali dan seorang lagi iaitu Ketua Pembangkang Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh) digantung daripada menghadiri persidangan hari ini. – BERNAMA

Loading...



✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2rHVmdH

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!



LinkMalaysia News