Selasa, 6 Jun 2017

Labuan Tawar Insentif Tunai Kepada Ejen Pelancongan

LABUAN – Ejen pelancongan berdaftar di Malaysia boleh menarik nafas lega tidak lama lagi apabila Labuan menawarkan insentif berbentuk wang tunai kepada mereka yang membawa masuk pelancong ke pulau ini.

Insentif RM30 seorang dengan minimum satu hari lawatan dan penginapan di mana-mana hotel di sini itu, bagaimanapun hanya ditawarkan kepada mereka yang berdaftar dengan Yayasan Pembangunan Labuan (YPL) mulai 1 Julai.

Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata peruntukan bagi bayaran insentif itu diluluskan Kementerian Wilayah Persekutuan, manakala YPL akan bertanggungjawab bagi pembayarannya.

“Kementerian itu memperuntukkan RM200,000 sebagai bayaran insentif bagi membantu mencergaskan kembali sektor pelancongan di pulau ini dan kami berharap ia akan membuka jalan kepada ejen pelancongan untuk melakukan promosi pelancongan secara besar-besaran untuk pulau ini” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Pelancongan Labuan di sini malam tadi.

Menurut beliau, ejen pelancongan juga dikehendaki mengunakan khidmat pemandu pelancong tempatan untuk melayakkan mereka menerima insentif itu.

Rozman, yang juga pengerusi pihak berkuasa tempatan, Perbadanan Labuan, berkata beliau yakin dengan prospek jangka panjang industri perjalanan dan pelancongan pulau ini.

“Industri perjalanan perlu mengamalkan pendekatan jangka panjang. Kemunculan ekonomi baharu menawarkan banyak peluang dan sementara masih terdapat peluang di negara pelancongan yang sudah matang, mereka hanya perlu menyesuaikannya dengan trend dan keadaan yang ada,” kata beliau.

Rozman berkata pelancong dari negara maju akan terus membuat perjalanan, tetapi akan mencari alternatif lebih murah pada masa akan datang.

“Amat susah untuk orang berhenti daripada melakukan perjalanan, jadi mereka akan mencari opsyen lebih murah seperti percutian singkat atau kos rendah. Kami berharap akan dapat menawarkan apa yang mereka harapkan,” katanya.

Rozman berkata kerajaan telah mengguna pakai pendekatan tertentu bagi tujuan mempromosi pelancongan di Labuan, termasuk satu mekanisme baharu bagi mempercepatkan pelaksanaan projek pelancongan, pembinaan tempat pelancongan bersepadu dan ikonik serta strategi baharu pemasaran.

“Labuan berbangga kerana mempunyai tapak warisan di segenap pelosok pulau ini.

“Ia bersifat pelbagai, dengan setiap tapak menawarkan sesuatu yang unik untuk dihayati pelancong dan semua ini boleh dipasarkan secara lebih menarik untuk memikat hati pelancong yang ingin bersantai sambil mendekati sejarah budaya kita yang bersifat pelbagai,” katanya.

Pengerusi MCA Labuan Datuk Chin Hon Vui pula berkata: “Kebelakangan ini, banyak perkara tentang pulau kami ini disampaikan dari mulut ke mulut, contohnya, tempat bagi aktiviti menyelam skuba, antaranya, Cement Wreck, yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai antara tempat menyelam terbaik di dunia.”

Chin, yang membawa masuk beberapa kumpulan pelancong China ke pulau ini awal tahun ini, berkata, jika ada orang di dunia masih menganggap Labuan sebagai tempat yang mahal, mereka sebenarnya hanya mendengar separuh daripada cerita sebenarnya sahaja.

“Memanglah, banyak lagi yang perlu kami lakukan untuk menghapuskan imej itu, termasuk dengan menambah baik industri pelayanan kami, tetapi kami dilimpahi dengan banyak perkara positif.

“Saya yakin bahawa dengan kepercayaan yang diberi kerajaan, pada tahun-tahun akan datang, banyak pelancong akan melawat pulau kami ini dan membawa pulang pelbagai kenangan indah semasa mereka berada di sini,” kata beliau. – BERNAMA

Loading...



✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2sbJsLA

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!



LinkMalaysia News