Selasa, 20 Jun 2017

Pentingnya Mendaftarkan Harta Intelek Dengan MyIPO

HARTA intelek merujuk kepada berberapa jenis hasil dari idea atau minda seperti ciptaan (invention), hasil karya seni, simbol-simbol, nama-nama, imej, dan rekaan dalam perniagaan yang hak eksklusifnya diakui di bawah undang-undang berkait.

Hak eksklusif bermaksud hak untuk memiliki dan hak untuk mengeksploitasi sesuatu harta intelek tanpa sebarang ancaman daripada pihak lain. Ancaman termasuklah ancaman cetak rompak, barangan tiruan, penyalahgunaan, penggunaan tanpa kebenaran dan sebagainya.

Harta intelek merupakan salah satu komponen penting dalam pembangunan ekonomi negara di mana penghasilan harta intelek yang berterusan dari semasa ke semasa akan meningkatkan aktiviti pelaburan dan perdagangan.

Satu daripada sebab mengapa isu harta intelek ini menjadi penting sekarang ialah terdapat banyaknya kejadian peniruan sesuatu produk industri yang dihasilkan di mana faedahnya tidak dinikmati oleh pereka yang asal tetapi menguntungkan pihak peniru itu sahaja.

Contohnya kalau kita lihat sekarang banyak barangan seperti jam, beg tangan dan bahan kulit, seluar jean dan seumpamanya yang menggunakan jenama terkenal dipasarkan, yang bukan tulen tetapi barang tiruan semata-mata. Penjualan ini telah menghakis pendapatan pengeluaran dan pengedar asal yang mempunyai cap dagangan ke atas barang-barang tersebut.

Sistem perlindungan harta intelek memberi hak eksklusif kepada pemiliknya untuk mengawal dan mengeksploitasi harta intelek mereka. Ini termasuklah hak untuk membuat, mengguna, mengedar, menjual dan mengimport.

Mereka juga boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak-pihak yang melanggar hak mereka.

Harta intelek yang dilindungi di bawah undang-undang di Malaysia ialah Paten, Cap Dagangan, Hakcipta, Reka Bentuk Perindustrian, Petunjuk Geografi dan Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu.

Bagaimanapun masih ramai masyarakat yang tidak tahu harta intelek dan masih ramai juga yang tidak menyedari kewujudan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab memberi perlindungan hak-hak harta intelek di Malaysia.

Baru-baru ini Mynewshub menemui orang ‘nombor satu’ dalam MyIpo, tidak lain dan tidak bukan, Ketua Pengarahnya sendiri, Datuk Shamsiah Kamaruddin.

Selama hampir sejam, anak jati Kuala Lumpur yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Ekonomi/Kewangan dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari New Hampshire College, Amerika Syarikat ini menghuraikan kepentingan mendaftarkan harta intelek seperti yang dimaksudkan.

Menurut Shamsiah, kerajaan telah memperkenalkan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada 3 Mac 2003 di mana mereka bertanggungjawab dalam memantau undang-undang dan akta yang berkaitan dengan harta intelek.

Katanya, MyIPO berfungsi sebagai badan yang memantau pelaksanaan undang-undang berkaitan harta intelek selain memberi nasihat dalam semakan semula dan mengemaskini perundangan berkaitan dengan harta intelek.

“Kesedaran ini penting untuk menukar pemikiran orang ramai supaya menghormati dan mengiktiraf ciptaan orang lain kerana bukan mudah untuk pencipta menghasilkan sesuatu jenama atau produk,” tegasnya.

Menurut Shamsiah, para usahawan contohnya, perlu melindungi harta intelek mereka agar hak mereka lebih terjamin sebagai pemilik produk seterusnya bagi memastikan tiada pihak yang mencuri idea dan produk mereka sewenang-wenangnya.

Pun begitu, ujarnya, ia terpulang pada individu atau syarikat tersebut hendak mendaftarkan harta intelek mereka kerana ia bukanlah sesuatu yang wajib.

Tetapi, kata Shamsiah, pendaftaran ini penting kerana jikalau ada pihak ketiga meniru produk mereka, ia mungkin membuatkan kualiti barangan tersebut tidak sama seperti yang asal dan ia boleh menjejaskan kepercayaan pelanggan sekaligus memberi kesan ke atas perniagaan mereka.

“Harta intelek ni macam harta persendirian juga, kalau dia rasa penting, , kalau dia taknak haknya ‘diambil’ atau dicuri orang lain, dia kena daftar,” tegasnya.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai harta intelek yang dilindungi di bawah undang-undang di Malaysia, Shamsiah memberitahu, antaranya paten. Paten adalah hak eksklusif yang diberikan terhadap suatu rekacipta, sama ada suatu produk ataupun proses untuk menghasilkan cara baru bagi membuat sesuatu, ataupun untuk penyelesaian teknikal bagi sesuatu masalah.

Yang kedua, katanya, adalah cap dagangan. Cap Dagangan boleh membezakan barangan atau perkhidmatan yang dikeluarkan oleh pihak-pihak lain seperti perkataan, logo, gambar, nama, huruf, nombor atau kombinasi tersebut.

“Reka Bentuk Perindustrian ialah ciri bentuk, tatarajah, corak atau hiasan yang digunakan pada sesuatu barang melalui apa-apa proses atau cara perindustrian, iaitu ciri yang ada pada barang siap, merupakan ciri yang menarik dan dinilaikan dengan pandangan mata.

“Manakala petunjuk geografi adalah tanda yang digunakan ke atas sesuatu produk kerana produk tersebut mempunyai kualiti dan reputasi yang boleh dikaitkan dengan kawasan berkenaan,” ujarnya.

Tambah Shamsiah, hak cipta pula adalah perlindungan yang diberikan kepada penulis, pemilik hak cipta dan pelaku tertakluk di bawah Akta Hak Cipta 1987.

Katanya, turut dilindungi adalah rekabentuk susun atur litar bersepadu. Ia adalah suatu susunan tiga dimensi unsur-unsur sesuatu litar bersepadu yang mengandungi sebahagian atau semua unsur-unsur hubungan litar bersepadu atau keseluruhan susunan tiga dimensi disediakan untuk tujuan persediaan bagi proses perkilangan.

Bagi mereka yang inginkan maklumat lanjut mengenai MyIPO bolehlah melayari laman web www.myipo.gov.my atau Facebook mereka di http://ift.tt/2sK6kl7

Loading...



✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2suwGpe

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!




LinkMalaysia News