Selasa, 20 Jun 2017

Projek Bandar Sukan KL 98 Peratus Siap – MRCB

KUALA LUMPUR – Kerja-kerja menaik taraf Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil di sini, sudah 98 peratus siap dan dijangka diserahkan kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) pada pertengahan Julai ini.

Pengarah Projek, S. Nalgunalingam berkata baki dua peratus lagi kerja-kerja itu adalah menumpukan kepada ujian, dokumentasi dan pentauliahan kemudahan serta peralatan untuk akreditasi oleh persatuan sukan antarabangsa menjelang Sukan SEA ke-29, Ogos ini.

“Pensijilan badan antarabangsa adalah sebahagian daripada keperluan kerana ia venue sukan bertaraf antarabangsa, yang perlu mematuhi piawaian sukan antarabangsa untuk menganjurkan acara sukan bertaraf dunia, dan akan disiapkan dalam dua peratus lagi.

“Kita sudah menambah persekitaran hijau di sekitar stadium daripada lima kepada 30 peratus, selain laluan pejalan kaki baharu tertutup dari Stesen LRT Bukit Jalil ke venue-venue bagi keselesaan orang ramai di boulevard baru,” katanya semasa taklimat media dan lawatan tapak projek di sini hari ini.

Fasa pertama projek bernilai RM500 juta yang dilaksanakan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) itu, termasuk menaik taraf Stadium Nasional, Arena Axiata (dahulunya dikenali sebagai Stadium Putra), Pusat Akuatik Nasional, Stadium Hoki Nasional dan juga sebuah plaza berskala besar dan pembangunan infrastruktur di Kompleks Sukan Negara.

Nalgunalingam, yang juga Pengurus Besar MRCB, berkata venue-venue berkenaan akan diserahkan kepada PSM secara berperingkat selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA).

Fasa kedua projek Bandar Sukan KL yang bernilai RM1.1 bilion itu, dijangka bermula selepas Sukan Para ASEAN Ke-sembilan yang berlangsung dari 17 hingga 23 Sept.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSM Azman Fahmi Osman yakin atlet kebangsaan boleh mula menggunakan dan menguji venue-venue tersebut menjelang pertengahan Julai ini, sebagai kelebihan selaku tuan rumah walaupun mengikut kontrak perjanjian, tarikh penyerahan gelanggang pertandingan adalah pada 22 Julai.

“Projek skala seumpama ini biasanya mengambil masa 30 bulan, tetapi disiapkan oleh MRCB dalam hanya 15 bulan dengan kualiti pembinaan yang terbaik. Ruang di bandar sukan ini boleh digunakan oleh orang ramai daripada semua lapisan umur bagi pelbagai gaya hidup dan aktiviti sihat.

“Melalui sistem pengawasan yang dipertingkatkan, sejumlah 465 kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang bagi memastikan keselamatan orang ramai. Kami juga menyediakan ruang khusus untuk kedai makanan dan minuman serta tempat duduk bernombor dalam talian,” katanya.

Ketika ditanya mengenai trek balapan di Stadium Nasional di mana pekerja masih melakukan kerja-kerja, Azman berkata gelanggang itu akan disiap selepas Hari Raya ini.

“Kami menggunakan salah satu trek terbaik di dunia, jenis mondo. Ia digunakan di kebanyakan Stadium Olimpik di seluruh dunia,” katanya.

Pada Oktober 2015, MRCB dipilih menerusi anak syarikatnya Rukun Juang Sdn Bhd oleh kerajaan Persekutuan untuk projek pembinaan Bandar Sukan KL. – BERNAMA

Loading...



✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2rQdErr

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!




LinkMalaysia News