Selasa, 6 Jun 2017

Rakyat M’sia London Waspada Susulan Serangan Terbaru

KUALA LUMPUR – Tiga hari telah berlalu sejak insiden serangan ganas di London Bridge dan Borough Market, yang menyaksikan tujuh nyawa yang tidak berdosa menjadi korban dan puluhan lagi cedera pada malam yang membawa malang itu, hanya dua minggu selepas pengeboman di lokasi konsert di Manchester Arena.

Serangan pada Sabtu ialah yang ketiga menggegarkan Britain dalam masa tiga bulan selepas serangan pertama dilancarkan pada 22 Mac apabila sebuah kenderaan utiliti sukan merempuh pejalan kaki yang panik dan penyerang menikam seorang pegawai polis di luar bangunan Parlimen.

Susulan kedua-dua insiden yang ngeri ini, rakyat Malaysia di London berkata mereka kini lebih berwaspada selepas serangan pada Sabtu walaupun warga London meneruskan aktiviti harian mereka seperti biasa.

Angel Ting, 26, yang sekarang bekerja di Dublin, Ireland, berada di London selama dua malam sejak Jumaat kerana mengunjungi rakannya yang tinggal di sebuah apartmen dekat Tower of London.

Ketika dihubungi Bernama hari ini, pakar pemasaran bagi sebuah syarikat perisian berkata selepas insiden serangan itu, beliau dan rakannya akan memastikan adanya jalan keluar yang terdekat (di tempat-tempat awam) dan mengelak daripada berkunjung ke kawasan tarikan pelancong yang sesak.

Mengimbas kembali insiden itu, Ting berkata polis membuat laluan untuk orang ramai yang berada di jalan memasuki bangunan apartmen rakannya dan beliau menyangka mereka mungkin dikurung dalam bangunan itu sehingga Ahad.

“Kami tiba di rumah sekitar 10 malam dan sedang bersiap untuk makan malam apabila rakan sebilik saya di Dublin menghantar sms bertanya sama ada saya “okay” dan dari situlah saya mendapat tahu mengenai serangan tersebut.

“Ada kemungkinan kami akan terjejas akibat serangan jika ketika itu kami dalam perjalanan pulang ke rumah kerana rakan saya tinggal terlalu hampir dengan lokasi serangan,” katanya.

Seorang lagi rakyat Malaysia, Azizi Nawawi, 31, berkata dia masih berasa kurang selamat sehingga hari ini terutama apabila berjalan di sekitar tempat-tempat awam seperti stesen bawah tanah atau apabila dalam perjalanan menaiki bas di ibu kota.

Menurut beliau, kesan daripada serangan terbaharu adalah lebih buruk daripada insiden serangan ke atas Westminster Bridge dekat bangunan Parlimen kerana ia melibatkan lebih ramai mangsa menjadi korban dan dilancarkan di dua loasi yang berbeza.

“Saya berada di rumah rakan saya, kira-kira 15 minit berjalan kaki dari London Bridge apabila insiden itu berlaku. Kami mengetahui tentang insiden tersebut serta merta melalui berita terkini melalui aplikasi Sky News.

“Tidak lama selepas itu, kami melihat ambulans dan kereta peronda polis bergegas ke tempat kejadian dengan bunyi siren memenuhi suasana pada malam itu sementara helikopter berlegar di udara selama 2 hingga 3 jam,” kata pelajar yang mengikuti program Doktor Falsafah dalam bidang Kimia di Imperial College, London.

Apabila mendapat tahu bahawa pelaku serangan tersebut orang Islam warga Britain, Azizi berkata warga London masih memberi layanan yang sama rata kepada orang Islam yang lain dan beliau mendapati tiada kenyataan berbaur rasis yang dilemparkan terhadap orang Islam selepas serangan itu.

Sementara itu, Nuradilah Azil, 26, lulusan undang-undang dari The London School of Economics and Political Science mengimbas perasaan takut kerana dia dan tunangnya terpaksa pulang ke rumah menggunakan laluan lain pada malam itu.

“Apabila tiba di stesen bawah tanah, saya melihat orang ramai mula panik. Saya menaiki kereta api bawah tanah dan mendapat tahu melalui pengumuman bahawa stesen seterusnya dekat kawasan tempat tinggal saya ditutup (Bank Underground Station). Oleh itu, saya dan tunang saya mengambil keputusan untuk pulang menggunakan laluan alternatif.

“Tetapi apabila kami menaiki kereta api yang lain, kami diberitahu bahawa semua kereta api t telah berhenti. Jadi, saya fikir orang ramai mula berasa takut kerana mereka tidak dapat pulang. Uber sudah penuh, laluan bas dilencongkan semula.

“Jadi, keadaan menjadi kelam-kabut. Apabila akhirnya saya tiba di sekitar jalan dekat tempat tinggal saya orang ramai keliharan lari ketakutan dan situasi itu menyebabkan saya berasa sangat tidak selesa,” katanya.

Nuradilah berkata dia tidak keluar rumah selepas insiden tersebut kecuali untuk membeli barang-barang runcit di kawasan kejiranan masyarakat Muslim.

“Walaupun sebagai Muslim, saya takut untuk keluar tetapi saya fikir kebanyakan masyarakat tidak bersikap agresif terhadap komuniti Muslim. Saya fikir semua orang meneruskan aktiviti harian mereka,” tambah beliau. – BERNAMA

Loading...



✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2rH8jnK

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk πŸ‘ Like & πŸ’• Share di media sosial anda!



LinkMalaysia News