Selasa, 6 Jun 2017

Ribut: Bunyi Bising Rupanya Atap Rumah Tercabut

KUALA BERANG – “Saya mendengar bunyi tiupan angin kuat sangat, bunyi seakan-akan benda nak tercabut semalam, saya tak sangka bunyi itu rupa-rupanya bunyi atap rumah saya dan ia terbang di depan mata,” kata mangsa angin ribut, Sarimah Hassan, 39.

Pada waktu kejadian pukul 3.30 petang itu beliau berada di dapur dan segera mencari anak-anaknya yang berada di ruang tamu , tempat paling teruk terjejas, untuk menyelamatkan diri.

“Pada ketika itu, suami Mohd Shafie Mohd Amin, 49, tiada di rumah. Saya dan anak-anak segera ingin keluar dari rumah apabila melihat satu persatu atap diterbangkan angin.

“Tetapi oleh kerana ribut yang kuat serta kilat sambar-menyambar, kami hanya berlindung di bahagian yang tidak terjejas dan berharap ia segera berakhir. Perasaan takut pada masa itu tidak dapat digambarkan tetapi Alhamdulillah tiada siapa yang tercedera,” katanya yang ditemui pemberita di sini hari ini.

Sebanyak 32 buah rumah di Taman Perumahan Awam Kos Rendah Tok Randok, di sini, rosak dilanda ribut semalam.

Sarimah berkata kejadian seumpama ini merupakan yang pertama sejak beliau mendiami rumah itu dalam tempoh 20 tahun dan beliau menjadi antara enam pemilik rumah yang terjejas teruk.

Pegawai Kebajikan Daerah Hulu Terengganu, Nor Azmi Adnan dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ghazali Taib merangkap Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas Negeri melawat mereka yang ditimpa musibah itu hari ini.

Nor Azmi berkata pihaknya telah menerima laporan daripada Jawatankuasa Keselamatan dan Kesejahteraan Kampung (J3K) Tok Randok pada pukul 4.30 petang dan mereka segera menggerakkan Unit Krisis dan Bencana ke lokasi.

“Di peringkat jabatan, kami akan gerakkan Unit Trauma untuk mengenal pasti mangsa-mangsa yang terkesan dengan kejadian berkenaan bagi menerima kaunseling. Selain itu, bantuan pemulihan berbentuk pakaian dan makanan kepada semua mangsa turut diberi agar dapat meringankan beban mereka.

“Buat masa sekarang, sebanyak 32 buah rumah terlibat dan jumlah mangsa masih dalam proses kemas kini serta kerugian dianggarkan mencecah RM200,000. Perkara ini akan diketengahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah untuk tindakan selanjutnya, ” katanya.

Selain itu, Ghazali berkata enam buah rumah yang terjejas teruk, akan diberi peruntukan segera di bawah peruntukan Pejabat Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil. – BERNAMA

Loading...



✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2rZoJuD

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!



LinkMalaysia News