Selasa, 6 Jun 2017

Sekitar Masjid Jama Delhi: Sibuk Dengan Aktiviti Ramadan

NEW DELHI – Solat Maghrib baru sahaja berakhir di Masjid Jama Delhi yang bersejarah dan kawasan sekitarnya mulai sibuk, meriah setiap hari menjelang malam.

Aktiviti harian di bahagian bandar ini biasanya agak membosankan pada siang hari ketika bulan Ramadan. Namun, segalanya berubah secara drastik pada waktu malam. Kedai dan jalan terus sibuk sehingga larut malam, suasana yang menawarkan pengalaman berbeza bagi para pengunjung ke situ.

Pompie Hughe dan keluarganya tiba di Masjid Jama, setelah mendengar mengenai hiruk-pikuk Old Delhi pada bulan Ramadan, mereka ingin mengetahui lebih lanjut. Keluarga itu tergolong dalam komuniti kecil Cina India dan telah berpindah ke Kolkata dari New Delhi.

“Kami sedang mencari makanan jalanan tetapi tidak menemuinya,” kata Pompie.

Sebenarnya keluarga itu telah sampai ke kawasan berkenaan agak awal, jadi tidak banyak gerai makanan yang dibuka. Sesiapa yang ingin mengunjungi kawasan yang sibuk itu perlu terlebih dahulu mendapatkan sedikit sebanyak maklumat mengenainya untuk sampai ke tempat yang betul agar tidak sesat memandangkan tidak banyak papantanda untuk membantu pelancong.

Pompie dan keluarganya tidak tahu bahawa mereka sebenarnya berdiri tidak jauh dari restoran masakan Mughlai terkenal di bandar itu, Karim. Dapur restoran itu sibuk dengan aktiviti selepas berbuka puasa.

Terdapat banyak makanan jalanan di gerai yang berselerak di jalan-jalan utama. Tetapi, anda perlu berhati-hati tentang apa yang anda makan dan di mana anda makan. Mereka yang berhasrat mencuba makanan di kawasan itu perlu tahu mengenai “perut Delhi”. Dalam erti kata mudah, ia adalah sakit perut yang paling teruk boleh dialami oleh pelancong ke India.

Penduduk Delhi tidak lali daripada masalah itu tetapi lebih selamat untuk mengatakan bahawa mereka mampu menghadapi tahap kebersihan tempatan berbanding pelawat.

Pompie dan keluarganya sedia maklum mengenai perkara berkenaan dan bersedia menuju ke restoran kebab terkenal yang berhampiran.

Justeru kekecewaan bagaikan terubat setelah gagal mencari makanan jalanan ketika mengunjungi Masjid Jama, satu daripada masjid terbesar di India yang dibina oleh Shah Jahan, maharaja Mughal kelima selepas Babur, Humayun, Akbar dan Jahangir. Pengasas Shahjahanabad, yang kini dikenali Old Delhi, Shah Jahan adalah seorang pembina bangunan yang hebat dan masyarakat dunia mengetahui tentang monumennya yang paling terkenal, Taj Mahal di Agra.

Masjid Jama abad ke-17 itu, dibina pada ketinggian 10 meter, meliputi sebahagian Old Delhi dan saban hari dikunjungi beribu-ribu umat yang berpuasa dan pelawat Islam dan bukan Islam. Halamannya boleh menampung 25,000 orang semasa solat, menyaksikan suasana berwarna-warni pada waktu iftar (berbuka puasa). Kebanyakan keluarga membawa makanan yang dimasak di rumah dan berkongsi dengan orang lain.

Orang ramai juga boleh membeli makanan bergoreng serta buah-buahan dari kawasan itu dan memanjat tangga untuk sampai ke halaman masjid bagi menikmati iftar bersama-sama pengunjung lain.

“Kita telah banyak mendengar mengenai pelbagai aktiviti Ramadan tetapi tidak pasti jika kita dibenarkan masuk ke dalam masjid,” kata Pompie.

Masjid itu dibuka kepada pelawat kecuali pada waktu solat. Beratus-ratus pengunjung datang ke sana setiap hari untuk melihat seni bina, kubah dan menaranya yang amat mengagumkan.

Satu ciri khas bukan wajib ketika Ramadan adalah solat tarawih di masjid-masjid.

Sebaik sahaja bergerak meninggalkan ketenangan relatif Masjid Jama itu, anda akan terperangkap dalam hingar-bingar para peniaga serta bunyi bising lalulintas. Kawasan itu memberikan pengalaman baharu bagi pengunjung, namun ia rutin bagi mereka yang tinggal di Old Delhi.

Kedai-kedai mempunyai lebih banyak barang dagangan, pelbagai lampu dan dekorasi pada bulan Ramadan. Permintaan terhadap barang-barang seperti sejadah, kurma, vermiseli, buah-buahan kering, tasbih dan kopiah bertambah sepanjang bulan ini.

Sesetengah kedai tidak menjual barangan yang biasa dijualnya, sebaliknya berniaga barangan yang mendapat permintaan tinggi pada bulan Ramadan.

Mohammed Samir menyewa sebuah restoran sebagai tempat untuk manjalankan perniagaan buah-buahan kering.

“Jualan buah-buahan kering bertambah pada masa ini. Saya menyewa sebuah tempat di sekitar sini pada setiap tahun.

Pada hari-hari terakhir Ramadan, permintaan terhadap pakaian wanita dan kanak-kanak meningkat. Para peniaga akan mengetepikan dagangan biasa yang kurang menguntungkan. Para pelanggan akan kelihatan membeli-belah sehingga matahari terbit pada hari-hari menjelang sambutan Aidilfitri

Kejiranan Masjid Jama ketika bulan mulia, Ramadan menyaksikan kewarakan, kebajikan dan perniagaan yang laris.

— BERNAMA

Loading...



✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2qWCA56

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!



LinkMalaysia News